BUKIT MERTAJAM – Tiga kanak-kanak lelaki warga Myanmar berketurunan Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita berusia 71 tahun.
Ketiga-tiga mereka, masing-masing berusia 11 dan 12 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Majistret Roshayati Radellah.
Mereka didakwa bertindak bersama-sama mengugut untuk mencederakan mangsa menggunakan beberapa objek, antaranya mop, batang besi, lampu kalimantang dan batu.
Perbuatan itu didakwa berlaku di hadapan sebuah rumah di Tingkat Binjai Empat Belas, Taman Sri Rambai, kira-kira jam 6 petang pada 22 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzli Hassan mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin tempatan. Beliau turut memohon supaya dokumen perjalanan mereka diserahkan kepada mahkamah.
Pihak pendakwaan juga mencadangkan syarat tambahan supaya ketiga-tiga kanak-kanak itu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu serta tidak menghubungi atau mengganggu mangsa dan keluarganya.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Najihah Ahmad Zulkarnain memohon mahkamah mempertimbangkan usia tertuduh yang masih bawah umur serta latar belakang keluarga mereka.
Mahkamah dimaklumkan dua daripada kanak-kanak terbabit masih bersekolah, manakala seorang lagi tidak mengikuti pendidikan formal. Ibu mereka masing-masing terdiri daripada suri rumah dan pekerja kilang, sementara bapa bekerja sebagai buruh dengan pendapatan sekitar RM100 sehari.
Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan jaminan dan menetapkan 10 November ini untuk penyerahan dokumen serta pelantikan jurubahasa Myanmar bagi membolehkan pertuduhan dibacakan semula dalam bahasa yang difahami tertuduh.
Ketiga-tiga kanak-kanak itu dilihat menangis bersama ibu bapa masing-masing di dalam kamar mahkamah selepas keputusan berhubung permohonan jaminan diumumkan.


Leave a Reply