MELAKA – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan pengagihan wang tunai dan bakul makanan di premis Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Rim yang dikaitkan dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata kejadian yang didakwa berlaku pada 2 November lalu sekitar jam 9.50 pagi itu perlu diberikan perhatian serius kerana berlaku ketika tempoh kempen pilihan raya.
Menurut Zaliha, program berkenaan didakwa melibatkan pengagihan bakul makanan sempena Deepavali serta wang tunai kira-kira RM50 kepada penerima, menerusi program yang dikaitkan dengan Majlis Perbandaran Jasin.
Beliau mempersoalkan sama ada kemudahan kerajaan digunakan bagi memberikan kelebihan politik kepada calon tertentu, sekali gus menimbulkan isu berkaitan integriti dan keadilan dalam proses pilihan raya.
Katanya, premis serta kemudahan kerajaan tidak sepatutnya digunakan untuk tujuan kempen atau memberi kelebihan kepada mana-mana parti sepanjang tempoh pilihan raya.
Zaliha turut mengingatkan bahawa pemberian wang atau barangan dengan tujuan mempengaruhi pengundi boleh menimbulkan isu di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Sehubungan itu, beliau meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berkuasa berkaitan meneliti laporan polis serta rakaman video yang didakwa telah dikemukakan, selain menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada wujud unsur penyogokan pilihan raya mengikut Seksyen 10(a) akta berkenaan.
Beliau menegaskan siasatan dan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara adil tanpa mengira kedudukan atau parti politik mana-mana individu yang terbabit. -KL Broadcast


Leave a Reply