MUAR – Dua beranak yang menghalang tugas anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Muar (MPM) ketika operasi menangkap anjing liar, bulan lalu, masing-masing didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Memetik laporan Harian Metro, kedua-dua tertuduh, Ainun Jongin, 52, warga Indonesia dan anak perempuannya, Loo Sock Yan, 24, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara 30 hari sekiranya mereka gagal membayar denda. Bagaimanapun, kedua-duanya menjelaskan bayaran berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menghalang seorang Pembantu Kesihatan Awam MPM berusia 31 tahun ketika menjalankan tugas dalam operasi menangkap anjing liar di hadapan sebuah rumah di Taman Bintang Emas, Bukit Pasir, pada jam 5.45 pagi, 29 Oktober lalu.

Berdasarkan fakta kes, pengadu mengetuai operasi bersepadu bagi menangkap anjing liar di kawasan berkenaan sebelum berjaya menangkap dua ekor haiwan itu.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh didakwa datang menghalang tugas anggota penguat kuasa dan cuba melepaskan anjing yang ditangkap.

Mereka turut mengambil peralatan yang digunakan dalam operasi berkenaan, manakala seorang anggota penguat kuasa wanita yang cuba mengawal keadaan terjatuh.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd Piah, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Tan Joes Nan.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.