KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan penganjuran acara HYROX Kuala Lumpur 2026 tidak akan diluluskan selagi tajaan syarikat minuman beralkohol tidak ditarik balik sepenuhnya.
Dalam kenyataan media hari ini, KBS memaklumkan permohonan penganjuran acara yang dijadual berlangsung pada 10 hingga 13 Disember depan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, masih dalam proses dan belum mendapat kelulusan.
Kementerian itu turut menjelaskan bahawa tiada sebarang kelulusan atau penyaluran dana diberikan kepada penganjuran berkenaan setakat ini.
Menurut KBS, perkara itu perlu mematuhi Perkara 5.2 Kod Sukan Selamat Edisi Ketiga 2024 yang melarang individu atau organisasi berkaitan perniagaan tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol daripada menganjur, menaja, mempromosi, mengiklan atau menjual produk mereka dalam aktiviti sukan yang diluluskan kementerian.
Sehubungan itu, KBS mengarahkan semua logo, cap dagangan dan bahan promosi berkaitan syarikat minuman beralkohol dikeluarkan sepenuhnya daripada saluran rasmi acara serta lokasi pertandingan.
KBS turut menegaskan pendiriannya bahawa semua penganjur sukan perlu memberikan komitmen terhadap pelaksanaan Kod Sukan Selamat sebelum permohonan lesen penganjuran dipertimbangkan.


Leave a Reply