KAJANG – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibawa semula ke Penjara Kajang kira-kira jam 7.15 malam tadi selepas pelaksanaan baki hukumannya menerusi kaedah tahanan rumah ditangguhkan buat sementara waktu.

Memetik laporan Utusan Malaysia, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berwarna perak yang membawa Najib dilihat memasuki pintu penjara dengan diiringi beberapa kenderaan pengiring.

SUV sama sebelum itu dilaporkan membawa Najib keluar dari penjara berkenaan sekitar jam 2.37 petang, turut diiringi beberapa kenderaan pengiring serta sebuah van Jabatan Penjara.

Terdahulu, Najib dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dirancang untuk dihantar ke kediamannya di Jalan Langgak Duta bagi meneruskan baki hukuman menerusi tahanan di rumah.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian mengarahkan supaya pelaksanaan kaedah tersebut ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang melibatkan bekas pemimpin negara itu.

Penangguhan berkenaan berkait persoalan undang-undang mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International Sdn. Bhd.

AGC menjelaskan terdapat dua kemungkinan tafsiran yang perlu diteliti sebelum keputusan lanjut dibuat. Sepanjang tempoh itu, status penahanan Najib perlu dikekalkan di lokasi tahanan sedia ada, tertakluk kepada arahan pihak berkuasa.

Tafsiran pertama menyatakan bahawa pembayaran RM50 juta hanya menyelesaikan kewajipan membayar denda, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International masih berkuat kuasa sehingga 23 Ogos 2028. Berdasarkan pandangan ini, tahanan di rumah hanyalah kaedah alternatif untuk menjalani baki hukuman, bukannya menamatkan hukuman penjara.

Satu lagi tafsiran pula melihat pembayaran tersebut sebagai syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya, sekali gus membawa maksud keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk penjara, dianggap telah selesai.

Perbezaan tafsiran itu turut membabitkan kesan perintah ‘Order of Discharge on Payment of Fine’ bertarikh 6 November 2026 yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas bayaran denda RM50 juta direkodkan.

Menerusi perintah berkenaan, Najib diarahkan dilepaskan serta-merta, namun baki hukuman masih dinyatakan perlu diteruskan melalui tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat.

AGC turut membangkitkan kemungkinan kesan keputusan itu terhadap pelaksanaan hukuman penjara Najib dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), memandangkan perintah mahkamah menetapkan hukuman tersebut bermula selepas beliau selesai menjalani hukuman bagi kes SRC International.

Pada tengah hari tadi, Najib dilaporkan telah melunaskan bayaran denda RM50 juta di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pembayaran itu merupakan antara syarat yang ditetapkan bagi membolehkan baki hukumannya dijalani menerusi tahanan di rumah.

Peguamnya, Muhammad Farhan Shafee turut dilihat tiba di Penjara Kajang kira-kira jam 2.15 petang, dipercayai bagi menguruskan urusan berkaitan pelaksanaan perintah berkenaan.

Najib, 73, mula dipenjarakan pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dan mengekalkan sabitan serta hukuman terhadap tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.