KUALA LUMPUR – Sultan Pahang menegaskan keperluan kerajaan persekutuan memperkukuh kawalan sempadan serta memperbaiki pengurusan pelarian bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
Baginda bertitah, isu peningkatan jumlah warga asing, termasuk pelarian yang keberadaannya tidak diurus secara sistematik, perlu ditangani dengan serius kerana berpotensi memberi kesan kepada keselamatan, keharmonian masyarakat, kebersihan persekitaran dan ketenteraman awam.
Dalam masa sama, Baginda berpandangan kerajaan persekutuan perlu melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap operasi Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia, termasuk mempertimbangkan kemungkinan menamatkan operasinya sekiranya fungsi badan itu didapati tidak lagi memenuhi keperluan serta kepentingan negara.
Baginda mengingatkan bahawa kehadiran organisasi antarabangsa sepatutnya membantu mengurangkan beban kerajaan, bukannya mewujudkan masalah baharu yang akhirnya perlu ditanggung oleh rakyat tempatan.
“Jangan sampai atas nama kemanusiaan, kedaulatan negara dipandang ringan; dan jangan pula atas nama perlindungan, undang-undang negara seolah-olah kehilangan keutamaannya.
“Malaysia harus kekal sebagai sebuah negara yang berperikemanusiaan, tetapi tidak sesekali boleh menggadaikan kedaulatan dan keselamatannya atas nama kemanusiaan,” titah Baginda.
Menurut kenyataan menerusi hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang, titah berkenaan disampaikan ketika Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-121 yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Selasa lalu.
Baginda turut menegaskan bahawa setiap individu yang berada di negara ini wajib mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa tanpa mengira asal usul atau latar belakang.
Sehubungan itu, Baginda mahu tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara tegas, adil dan berlandaskan undang-undang, dengan tanggungjawab utama kerajaan memastikan kedaulatan negara dipertahankan serta kesejahteraan rakyat terus terjamin.


Leave a Reply