KUALA SELANGOR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman malam tadi bagi meninjau keadaan mangsa banjir serta memastikan kebajikan mereka mendapat perhatian sewajarnya.

Beliau berkata, seramai 620 mangsa daripada 159 keluarga kini ditempatkan di PPS berkenaan selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir.

Menurutnya, beliau memahami kesukaran yang dihadapi penduduk apabila terpaksa meninggalkan rumah masing-masing, selain perlu memikirkan keadaan kediaman dan mengurus keperluan keluarga dalam situasi serba terbatas.

Katanya, aspek keselamatan, keselesaan dan kebajikan mangsa perlu diberikan keutamaan sepanjang mereka berada di pusat pemindahan.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa langkah penyelesaian bagi menangani masalah banjir di kawasan Saujana Perdana turut diputuskan, termasuk mempercepatkan kerja pembersihan dan penyelenggaraan.

Amirudin berkata, usaha jangka panjang juga akan dilaksanakan menerusi pembinaan tembok penahan serta tindakan terhadap struktur yang dibina di kawasan pencerobohan.

Beliau mahu semua agensi berkaitan mengambil tindakan susulan dengan segera dan memantau pelaksanaannya sehingga selesai bagi mengurangkan risiko kejadian banjir berulang.

Selain itu, keperluan asas mangsa di PPS termasuk bekalan makanan, tempat berehat dan kemudahan kesihatan perlu dipastikan mencukupi sepanjang tempoh pemindahan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas dan sukarelawan yang membantu menguruskan kebajikan penduduk terjejas.

Amirudin berharap keadaan banjir dapat kembali pulih dalam masa terdekat supaya semua keluarga yang terlibat dapat pulang ke kediaman masing-masing dengan selamat.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.