KUALA LUMPUR – Penyanyi Hafiz Suip mengambil keputusan untuk tidak menyertai program GV Fantasia yang memulakan saingannya hari ini kerana tidak mahu memberikan komitmen yang tidak sepenuhnya terhadap pertandingan itu.
Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 34, berkata, keutamaan ketika ini adalah untuk berada di sisi isterinya, Fiona Saffiyya yang sedang hamil tujuh bulan.
Menurutnya, beliau tidak mahu menyertai pertandingan berkenaan sekiranya tidak mampu memberikan tumpuan sepenuhnya, memandangkan dirinya sentiasa berusaha memberikan komitmen 100 peratus terhadap setiap pekerjaan.
Katanya, keadaan isterinya yang semakin hampir melahirkan anak turut menjadi pertimbangan utama sebelum membuat keputusan tersebut.
Hafiz berkata, walaupun menerima tawaran menyertai GV Fantasia, faktor lokasi kediamannya di Kuching, Sarawak serta jadual latihan yang padat turut menyukarkan penyertaannya.
Beliau bimbang jarak antara Kuching dan Kuala Lumpur akan menjejaskan persediaan, khususnya apabila peserta lain dapat menghadiri latihan secara konsisten sedangkan dirinya berada jauh dari lokasi pertandingan.
Penyanyi yang pernah menjuarai Akademi Fantasia musim ketujuh itu turut memaklumkan bahawa beliau dan isteri bakal menyambut kelahiran cahaya mata lelaki.
Menurutnya, usia kandungan Fiona kini sudah memasuki tujuh bulan dan perkara paling penting baginya adalah memastikan isteri serta bayi berada dalam keadaan sihat sehingga proses kelahiran nanti.
Dalam pada itu, Hafiz menjelaskan keputusannya untuk terus menetap di Kuching turut dipengaruhi hasrat untuk menemani bapanya yang tinggal bersendirian.
Katanya, bapanya berada dalam keadaan sihat, namun lebih selesa menetap di Kuching kerana mempunyai banyak kenangan di tempat berkenaan.
Hafiz sebelum ini pernah membawa bapanya ke Kuala Lumpur, namun bapanya memilih untuk kembali ke Sarawak dan kini mengisi masa bersama ahli keluarga lain.
Sebelum ini, nama Hafiz antara yang disebut-sebut bakal menyertai GV Fantasia bersama beberapa bekas peserta Akademi Fantasia.
Program edisi kali ini menghimpunkan bekas juara dan peserta Akademi Fantasia, termasuk Mawi, Vince, Faizal, Shahir, Mila Jirin, Stacy, Zahid, Faizul Sany dan Firman Bansir.


Leave a Reply