JAKARTA – Seorang lelaki warga Malaysia ditahan polis di Batam, Kepulauan Riau, Indonesia selepas dipercayai menyamun sebuah kereta serta barangan milik penduduk tempatan dengan menggunakan pisau dan senjata airsoft.

Memetik laporan Kompas.com, suspek berusia 41 tahun yang dikenali sebagai KCL ditahan selepas melarikan kenderaan milik seorang lelaki berusia 48 tahun, dikenali sebagai NS, dalam kejadian di Kompleks Perumahan Pertamina, Jalan Borobudur, kira-kira pukul 2.30 petang waktu tempatan, kelmarin.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Barelang, Pesuruhjaya Agung Tri Poerbowo berkata, suspek pada mulanya berpura-pura meminta bantuan daripada mangsa dengan mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan.

Menurutnya, suspek meminta mangsa membawanya ke balai polis sebelum mengarahkan supaya kenderaan diberhentikan ketika mereka melalui Jalan Borobudur.

Ketika itu, suspek mengeluarkan sebilah pisau dan senjata airsoft untuk mengugut mangsa sebelum memaksanya memindahkan wang ke akaun miliknya.

“Mangsa kemudian menjerit meminta pertolongan orang ramai, namun suspek mengambil kesempatan untuk melarikan diri bersama kenderaan serta barangan milik mangsa,” katanya.

Mangsa dilaporkan mengalami kerugian kira-kira 192 juta rupiah, bersamaan sekitar RM43,000, selain mengalami kecederaan pada tangan kanan.

Bagaimanapun, tindakan suspek berjaya dihentikan apabila polis menahannya di hadapan sebuah kedai serbaneka.

Siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan kerana menghadapi masalah kewangan, termasuk kekurangan wang untuk membeli makanan dan membayar bayaran tinggal lebih masa sebelum pulang ke Malaysia.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.