MEXICO CITY – Selepas beberapa jam berada dalam tahanan penculik, Datuk Bandar Rio Bravo, Miguel Angel Almaraz akhirnya dibebaskan dalam keadaan selamat pada Ahad.
Almaraz dilaporkan dilarikan sekumpulan lelaki bersenjata ketika menaiki kenderaan bersama ahli keluarga dan kenalannya pada Sabtu.
Kejadian berlaku ketika kenderaan mereka melalui kawasan sempadan antara negeri Zacatecas dan San Luis Potosi. Kumpulan penyerang bagaimanapun melepaskan ahli keluarga serta rakan-rakannya, sebelum membawa Almaraz ke lokasi lain.
Keluarga mangsa kemudiannya mendapatkan bantuan pihak berkuasa selepas tiba di sebuah bandar di San Luis Potosi dan membuat laporan mengenai kejadian itu.
Pihak keselamatan persekutuan mengesahkan pembebasan Almaraz, namun sebab beliau menjadi sasaran penculikan masih belum diketahui.
Almaraz mentadbir Rio Bravo di negeri Tamaulipas, sebuah kawasan yang terletak kira-kira 11 kilometer dari sempadan Mexico-Amerika Syarikat.
Beliau sebelum ini pernah menjalani hukuman penjara selama enam tahun berkaitan kes pengubahan wang haram, sebelum dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan tersebut pada 2015.
Kejadian penculikan itu berlaku di Zacatecas, negeri yang berdepan ancaman kumpulan jenayah terancang, termasuk Kartel Generasi Baharu Jalisco dan Kartel Sinaloa.
Kedua-dua organisasi jenayah berkenaan dikaitkan dengan pelbagai keganasan serta persaingan menguasai wilayah, yang turut menjadikan orang awam dan ahli politik antara pihak terdedah kepada ancaman.


Leave a Reply