PANTAI KUNDOR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpandangan kerajaan tidak perlu melakukan rombakan Kabinet dalam masa terdekat, sebaliknya pembubaran Parlimen bagi memberi peluang kepada rakyat menentukan semula mandat kepimpinan negara adalah pilihan lebih sesuai.
Beliau berkata, pembentukan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan membolehkan rakyat membuat keputusan mengenai hala tuju kepimpinan negara.
Menurutnya, walaupun terdapat kemungkinan seorang anggota Kabinet akan melepaskan jawatan susulan perkembangan berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau tetap tidak melihat keperluan untuk melakukan perubahan dalam barisan Jemaah Menteri ketika ini.
“Jika ditanya mengenai rombakan Kabinet, saya tidak nampak keperluannya buat masa sekarang. Lebih baik Parlimen dibubarkan supaya mandat baharu dapat diserahkan kepada rakyat sebelum kerajaan baharu dibentuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bersama Kepimpinan Tertinggi di Puteri Qashrina Chalet, Pantai Puteri, hari ini.
Isu rombakan Kabinet kembali menjadi perhatian selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sekiranya Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.
Loke dilaporkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri pada 28 September lalu, dengan keputusan itu dijangka berkuat kuasa sekiranya Najib dibenarkan menjalani hukuman di kediamannya.
Dalam perkembangan berkaitan, tempoh pelantikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ahli Dewan Negara pula dijadual berakhir pada 11 Disember ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan perubahan bagi portfolio berkenaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berpandangan masih terlalu awal untuk membincangkan kemungkinan rombakan Kabinet.


Leave a Reply