SEREMBAN – Seorang lelaki warga China berusia 45 tahun ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kejadian meninggalkan anak lelakinya di tepi jalan sebelum kanak-kanak itu dilaporkan berpaut pada pintu belakang kereta dan terjatuh berhampiran Plaza Tol Nilai.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, suspek diberkas di sebuah rumah di Jalan Cheras, Kuala Lumpur, kira-kira jam 12.15 tengah hari tadi.

Polis turut menyita sebuah Perodua Axia berwarna putih yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek mengakui terlibat dalam insiden itu. Lelaki terbabit memberitahu bahawa dia bersama ahli keluarganya dalam perjalanan dari Cheras menuju ke Pantai Bagan Lalang, Selangor untuk beriadah kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

Bagaimanapun, pertengkaran antara mangsa yang berusia 12 tahun dengan adiknya mencetuskan kemarahan suspek sehingga dia bertindak menghentikan kenderaan di bahu jalan dan mengarahkan anak sulungnya keluar sebelum memarahinya.

Suspek kemudian meneruskan perjalanan dengan alasan mahu memberi pengajaran kepada mangsa agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Johari berkata, lelaki itu mendakwa menyedari anaknya terjatuh di atas jalan raya ketika sedang memandu, sebelum berpatah balik untuk mengambil kanak-kanak berkenaan.

Mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah klinik swasta di Bandar Baru Nilai bagi mendapatkan rawatan.

Leave a Reply

Previous Post
Next Post

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.