KUALA LUMPUR – Dengan bayaran hanya RM50, pengguna KTM Komuter kini berpeluang menikmati perjalanan tanpa had selama sebulan menerusi inisiatif Pas MyKomuter50 yang bakal dilaksanakan bermula 1 Disember depan.
Kemudahan baharu itu dijangka memberi manfaat besar kepada golongan yang menggunakan tren secara rutin, khususnya pekerja dan pelajar yang berulang-alik setiap hari, dengan penjimatan tambang mencecah RM366 sebulan.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan, pas berkenaan diperkenalkan bagi membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan KTM Komuter pada kos lebih rendah, sekali gus mengurangkan perbelanjaan pengangkutan bulanan.
Berdasarkan perbandingan tambang, pengguna laluan Tanjung Malim-KL Sentral yang sebelum ini perlu memperuntukkan RM416 untuk perjalanan selama 30 hari kini boleh menikmati kemudahan sama dengan hanya RM50.
Perbezaan itu memberikan penjimatan sebanyak RM366 atau hampir 88 peratus berbanding kadar tambang biasa.
Manfaat serupa turut dinikmati pengguna laluan Alor Setar-Butterworth apabila mereka boleh mengurangkan perbelanjaan sehingga RM234, iaitu kira-kira 82 peratus daripada anggaran tambang bulanan RM284.
Menurut KTMB, orang ramai boleh mula mengaktifkan pas tersebut pada 16 November ini, tertakluk kepada syarat kelayakan iaitu warganegara Malaysia berumur tujuh tahun dan ke atas serta bukan pemegang Pas MyRailLife.
Bagi mempercepat urusan permohonan, pengguna mempunyai pilihan untuk mengesahkan kelayakan menerusi aplikasi KTM Mobile atau KITS Style dengan memuat naik dokumen pengenalan diri MyKad atau MyKid.
Permohonan melalui aplikasi berkenaan memerlukan tempoh sehingga tiga hari bekerja untuk diluluskan.
Mereka yang mahukan pengesahan segera pula boleh mengunjungi mesin kios tiket di mana-mana stesen KTM Komuter atau berurusan di kaunter dengan membawa MyKad atau MyKid asal.
Setelah proses pengesahan selesai, pas boleh diperoleh menerusi aplikasi KTM Mobile, KITS Style atau pembelian Kad Komuter Link di kaunter stesen.
KTMB turut menyediakan kemudahan berkenaan di 34 stesen terpilih yang meliputi tiga rangkaian perkhidmatan, iaitu KTM Komuter Utara, Lembah Klang dan Shuttle Selatan.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan merancang urusan pengesahan, pengaktifan dan pembelian pada hari yang sama bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Pas MyKomuter50 ditawarkan dalam tiga pilihan mengikut rangkaian perjalanan, masing-masing MyKomuter50 Utara, MyKomuter50 Lembah Klang dan MyKomuter50 Shuttle Selatan, dengan setiap pas dijual pada harga RM50.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berhubung pelaksanaan inisiatif itu boleh diperoleh menerusi laman sesawang http://www.ktmb.com.my atau Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.


Leave a Reply