KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Akmal Nasir menegaskan Kementerian Ekonomi mempunyai kaitan dengan isu projek Loji Rawatan Air (LRA) terbengkalai apabila permohonan peruntukan tambahan sehingga RM50 juta menggunakan wang rakyat dikemukakan kepada kementerian itu.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau menjelaskan permohonan peningkatan kos projek berkenaan menyebabkan kementerian perlu meneliti keperluan peruntukan tambahan, meskipun projek itu dikendalikan oleh kerajaan negeri.

“Saya dituduh kononnya ‘mata lalat’ dan Kementerian Ekonomi langsung tidak ada kaitan dengan projek LRA terbengkalai yang dikendalikan Kerajaan Negeri”, tulis Akmal.

Menurutnya, dana RM50 juta tersebut sepatutnya boleh disalurkan kepada keperluan lain yang lebih mendesak seperti menaik taraf hospital, sekolah dan jalan raya sekiranya projek berkenaan diuruskan dengan baik sejak awal.

Akmal berkata, kelemahan pengurusan projek sehingga memerlukan tambahan kos turut memberi kesan kepada agihan peruntukan pembangunan (DE), selain menimbulkan persoalan mengenai kesungguhan menangani masalah bekalan air yang dihadapi rakyat.

Beliau turut mengulas kritikan yang diterima ketika turun ke lapangan, termasuk dakwaan bahawa Kementerian Ekonomi tidak mempunyai kaitan dengan projek berkenaan.

Katanya, beliau tidak berniat mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya mahu mengetengahkan fakta dan isu sebenar supaya masalah pengurusan projek dapat diselesaikan.

Akmal menegaskan akan terus menjalankan tanggungjawab dengan memberi tumpuan kepada isu lebih besar, khususnya kelemahan pelaksanaan projek, penggunaan peruntukan awam dan penyelesaian masalah bekalan air.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.