KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah menerima laporan rasmi daripada Kuching City dan Selangor berhubung insiden kekecohan yang berlaku ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Taha Ariffin, Kuching, Ahad lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan pihaknya turut menerima dokumen serta bukti berkaitan kejadian itu untuk diteliti sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.

Menurutnya, FAM akan menilai laporan kedua-dua pasukan bersama maklumat rasmi yang diserahkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), termasuk laporan komisioner perlawanan, koordinator, pengadil, penilai pengadil dan Ketua Pegawai Medan.

Beliau berkata, FAM memandang serius sebarang kejadian yang boleh mengancam keselamatan pemain dan pegawai serta menjejaskan imej bola sepak negara.

Bagaimanapun, sebarang keputusan atau hukuman hanya akan ditentukan selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM bermesyuarat dan meneliti keseluruhan laporan serta bukti mengikut peraturan yang ditetapkan.

Insiden kekecohan itu berlaku pada penghujung masa tambahan apabila pemain dan pegawai kedua-dua pasukan bertelagah di kawasan bangku simpanan. Kejadian dipercayai tercetus selepas pemain tengah Kuching City, Nazmi Faiz Mansor berlari ke arah ketua jurulatih Selangor, Kim Pan Gon ketika meraikan jaringan sendiri Mukhairi Ajmal Mahadi.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.