Kita sudah banyak menonton video parodi termasuk yang meniru gaya selebriti, filem, video tular dan sebagainya.

Tetapi ada parodi yang dihasilkan secara kreatif membabitkan usaha benar-benar perlu diberi pujian.

Sebuah video parodi oleh pengguna Twitter, Aiman Sany atau nama tweet handle nya @awesomerawks, kini sedang viral dengan lebih 1.7 juta tontonan dengan 53,000 retweet setakat ini.

Aiman bersama rakan-rakannya menghasilkan video parodi mengetengah setiap babak filem Marvel, Infinity War menggunakan sumber terhad, kelihatan kelakar namun menepati gimik filem itu.

Aiman Sany Mohd Ikhsan, 20, yang mengikuti pengajian A Level di Kolej Mara Seremban berkata, video parodi itu dibuat sempena tugasan kelas mereka, kira-kira dua minggu lalu.

Tugasan itu dibuat sempena subjek Inggeris yang memerlukan mereka membuat apa saja video secara berkumpulan mengikut kreativiti masing-masing.

Lebih menarik lagi, video parodi tersebut juga berjaya menarik perhatian penerbit dan gandingan pengarah tersohor Hollywood, Russo Brothers yang turut retweet video tersebut.

“Anda genius. Adakah anda bersedia menerbitkan Avengers 5?” petik Twitter Russo Brothers.

Russo Brothers terdiri daripada adik-beradik Anthony Russo dan Joseph V “Joe” Russo yang mengarah filem Captain America: The Winter Soldier dan Civil War oleh Marvel serta Avengers: Infinity War.

Nampaknya, ini baru parodi benar-benar memberi impak bukan sekadar menarik perhatian netizen tempatan menerusi lawak hambar dan jijik tetapi usaha kreativiti yang terserlah lain daripada lain.