IPOH – Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, menafikan semua dakwaan dibuat calon PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik, Mohamad Maharani Md Tasi, terhadapnya.

Mohamad Maharani membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini, hari ini meminta pasukan itu dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat salah laku serta penyelewengan didakwa dilakukan Ahli Parlimen Pasir Salak itu yang juga bekas Pengerusi FELCRA Bhd berhubung dana dan aset FELCRA selain politik wang.

Tajuddin berkata, beliau sedia disiasat pada bila-bila masa kerana setiap tuduhan Mohamad Maharani itu didakwanya sebagai fitnah dan cubaan menjatuhkan namanya sebagai Ahli Parlimen.

“Saya sudah meneliti laporan polis dibuatnya (Mohamad Maharani) terhadap saya, saya bersedia untuk disiasat, saya berani kerana benar dan sedikit pun tidak rasa takut.

“Tapi jangan ingat dia boleh terlepas, kerana lepas saya disiasat, saya akan mengambil tindakan undang-undang untuk saman malu kerana dia (Mohamad Maharani) memfitnah saya,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini sebentar tadi.

Tajuddin berkata, beliau akan berbincang dengan peguam sebelum mengambil tindakan undang-undang terhadap Mohamad Maharani dan tindakan itu bagi menyedarkannya supaya tidak sewenang-wenangnya menuduh orang.

“Saya rasa dia marah sebab kalah PRU-14, itu sebab dia nak memfitnah saya begitu tapi ingat, saya sedikit tidak takut kerana semua dakwaan itu tidak berasas dan saya boleh menjawab semua dakwaan itu.

“Jangan suka-suka hati menuduh orang begitu kerana negara ini ada undang-undang dan saya juga boleh mengambil tindakan terhadapnya,” katanya. -BH Online