KUALA LUMPUR – Usaha memulih dan memperkasakan semula UMNO perlu dilaksanakan dengan penuh komited serta menuntut lebih banyak pengorbanan masa dan tenaga kepemimpinannya.

Setiausaha UMNO Bahagian Lembah Pantai, Tengku Zuhri Aziz, berkata usaha berkenaan memerlukan komitmen tinggi seluruh kepemimpinan baharu parti yang akan dipilih pada Sabtu ini.

Beliau yang menawarkan diri bertanding kerusi Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan kali ini, berjanji akan komited berkhidmat untuk UMNO jika diberi mandat oleh perwakilan.

“Jika diberi mandat, saya berjanji komited bekerja menyumbang keringat dan perkhidmatan dalam usaha membantu memperkasakan parti keramat orang Melayu ini,” katanya di sini hari ini.

Tengku Zuhri menggantikan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sebagai Ketua UMNO Cawangan Bukit Travers, selain berkhidmat sebagai Pengerusi Biro Perkaderan Politik Pemuda UMNO dan Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO Lembah Pantai.

Beliau juga menyandang jawatan EXCO Pemuda UMNO dan pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Belia Malaysia (IYRES) di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Jawatan lain pernah disandang, Naib Presiden Sime Darby Berhad, Pengarah Penyelidik Akademi Pemuda, Penasihat PricewaterhouseCoopers Advisory dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Kepimpinan Kapten Hussein, selain Setiausaha Sulit Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. -BH Online