KUALA LUMPUR – Susulan beberapa beg tangan mewah berjenama Bijan yang dirampas daripada kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, jenama Bijan kini mula menjadi tular dan disebut-sebut di media sosial.

Ramai ternganga dalam sidang media Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh yang mengumumkan jenama Bijan antara beg yang dirampas di kediaman Najib.

Malah, jenama ini turut mengelirukan media sehingga mereka meminta Amar Singh mengeja kembali perkataan Bijan bagi mendapatkan kepastian.

Apakah itu jenama Bijan?

Ia bukan lah jenama yang mengambil nama kekacang bijan mahupun minyak bijan, sebaliknya Bijan yang disebut sebagai ‘bizaen’ (perkataan dalam bahasa Iran) adalah antara jenama yang paling eksklusif dan antara termahal di dunia yang dikategorikan sebagai barang rekaan khas dan jenama ikonik.

Jenama ini diasaskan di Los Angeles oleh seorang ahli perniagaan Pakzad Bijan. Beliau lahir pada April 1940 di Tehran, Iran yang mengkhusus pada koleksi pakaian lelaki dan wangian.

Pemilik asalnya, Bijan meninggal dunia pada 16 April 2011 akibat strok dan perniagaan itu kini diambil alih oleh syarikat LVMH pada harga RM491 juta (AS$122 juta) pada Ogos 2016.

Bijan pada awalnya adalah satu-satunya pereka fesyen bagi semua jenis kelengkapan badan lelaki, iaitu pakaian, kasut, skaf, tali leher, barang kemas dan jam tangan hingga ke beg bimbit serta haruman eksklusif.

Beliau kemudiannya menambah koleksi kepada pakaian dan kelengkapan wanita termasuk beg tangan, haruman dan barang kemas.

Bijan juga pernah bekerjasama dengan Bugatti menghasilkan rekaan khas untuk jenama kereta berkenaan.

Barangan mewah di butiknya dikenali House of Bijan itu mempunyai koleksi minyak wangi paling mahal di dunia, kasut, beg tangan dan jam tangan.

Difahamkan harga bag jenama Bijan bermula daripada USD 25,000 (RM100,780).

 

handbag_ohsem120180627_ROSMAH_bijan