KUALA LUMPUR – Era digital membuat kita lebih mudah untuk membeli keperluan harian hanya melalui aplikasi online sahaja, justeru dengan semakin berkembangnya platform e-dagang, ia memudahkan masyarakat pada masa kini.
Shopee Malaysia, platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan, hari ini mengumumkan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan kiriman barangan terkemuka dunia, DHL eDagang (DHL).


Ketua Operasi Shopee, Esten Mok berkata, pihaknya akan memberi jaminan penghantaran keesokan hari kepada pelanggannya di seluruh negara.
Penghantaran keesokan hari itu dapat dinikmati oleh pelanggan terutamanya kepada pihak pembeli di lebih 92 peratus kawasan seluruh negara.
Menurut beliau, kerjasama tersebut dijalinkan bagi memberikan lebih banyak manfaat kepada pelanggan bukan sahaja dari segi mempercepatkan masa penghantaran, malah pengalaman logistik yang efisen.
“Industri e-dagang tidak mungkin wujud tanpa sistem logistik yang kukuh dan cekap kerana ia merupakan elemen penting dalam keseluruhan proses membeli-belah dalam talian.
“Shopee sebagai platform yang mempunyai lebih 10 juta pengguna dan pengkalan data yang semakin berkembang, kami perlu terus meningkatkan keupayaan bagi memenuhi keperluan pengguna yang sentiasa berubah-ubah,” katanya pada majlis pelancaran kerjasama antara Shopee dengan DHL di Bangsar South hari ini.
Sementara itu Pengarah Urusan Asia Tenggara DHL eDagang, Kiattichai Pitpreecha berkata, usahasama tersebut membolehkan peruncit dalam talian Shopee memilih penghantaran produk mereka melalui DHL.
“Dalam perniagaan e-dagang sistem penghantaran memainkan peranan yang penting dalam melahirkan pengalaman khidmat pelanggan yang menyeluruh. Sebanyak 80 peratus pelanggan e-dagang menyatakan bahawa sistem penghantaran merupakan sebahagian daripada pengalaman beli-belah dalam talian.
“Sebanyak 70 peratus pelanggan tidak akan membuat pembelian dalam talian setelah mengalami pengalaman penghantaran yang teruk. Selari dengan hasrat kami untuk menjadi syarikat logistik e-dagang pilihan utama DHL berusaha untuk memudahkan proses penghantaran kepada peruncit dan pembeli dalam talian.
“Kami teruja dapat bekerjasama dengan Shopee di Malaysia untuk menawarkan pengalaman penghantaran yang mudah dan lancar,” katanya.

