KUALA LUMPUR  – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bersedia membantu gelandangan yang memiliki kemahiran untuk mengubah masa hadapan mereka menjadi lebih baik.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, golongan gelandangan perlu dibantu dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ada dalam kalangan mereka memiliki kemahiran yang boleh diketengahkan.

“Mungkin ada dalam kalangan mereka ini boleh menjahit, membuat kek atau sebagainya.

“Kami sedia membantu, mereka hanya perlu datang ke cawangan Angkasa untuk berbincang bentuk bantuan yang boleh diberikan seperti dana mikro kredit,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas mengagihkan bantuan di Pusat Khidmat Sementara Gelandangan, di sini hari ini.

Abdul Fattah berkata, Angkasa berhasrat untuk memperluaskan program bantuan kepada golongan gelandangan ke seluruh negara dan tidak hanya tertumpu di ibu negara sahaja.

“Pada malam ini kita salurkan bantuan makanan kepada gelandangan yang memerlukan. Bantuan dilaksanakan dengan kerjasama NGO (organisasi bukan kerajaan) dikenali sebagai pertiwi,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Fattah berharap, dapat mencapai sasaran kesemua universiti awam memiliki koperasi pada tahun 2020.

Ujar beliau, pada ketika ini hanya separuh daripada universiti awam sudah memiliki koperasi dan jumlah itu boleh dianggap sebagai tidak memuaskan.

Jelas beliau, berbanding koperasi di sekolah yang mendapat kerjasama mengalakkan daripada semua pihak, di universiti kerjasama yang diberikan sebenarnya boleh dipertingkatkan lagi.

“Kewujudan koperasi di universiti penting dalam mewujudkan kesinambungan pelajaran keusahawanan yang sudah diterap pada peringkat sekolah,” katanya.