Pemandu Gojek mengancam untuk mengadakan demontrasi di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, bagi membantah terhadap satu dakwaan penghinaan terhadap profesion itu oleh pengasas dan penasihat sebuah syarikat teksi Malaysia.
Menurut beberapa laporan media tempatan, yang memetik kenyataan Ketua Nasional Gabungan Aksi Roda Dua (Garda) Indonesia, Igun Wicaksono sebagai berkata mereka akan mengemukakan surat bantahan kepada Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar.
Menurut Igun jika pihak terbabit tidak membuat permohonan maaf terbuka, mereka merancang untuk mengadakan demonstrasi dan mengepung Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 3 Sept ini.
Berdasarkan satu video yang viral di Indonesia, pengasas dan penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail membuat kenyataan yang dianggap menghina pemandu Gojek dan negara Indonesia.
“Ini negara miskin, kita negara kaya. Kalau Indonesia anak muda bagus, dia tak keluar, keluar negara untuk cari kerja. Gojek hanya untuk orang miskin seperti di Jakarta,” menurut petikan video itu.
Diasaskan oleh Nadiem Makarim, 35, yang kini juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat rangkaian pengangkutan dan start up itu, Gojek adalah kebanggaan Indonesia, bukan hanya sekadar perkhidmatan pengangkutan penumpang menggunakan motosikal tetapi lebih dari itu.