KENYATAAN MEDIA
PERGERAKAN WIRAWATI PUTRA MALAYSIA
2 Mei 2020 | 9 Ramadhan 1441H
BANK NEGARA MALAYSIA PERLU BERPIHAK KEPADA RAKYAT & PATUHI SARANAN MENTERI KEWANGAN SERTA TOKOH KEWANGAN TENGKU RAZALEIGH HAMZAH UNTUK MELUPUSKAN FAEDAH TERAKRU PINJAMAN SEWA BELI ATAU KEUNTUNGAN PEMBIAYAAN ISLAM KADAR TETAP
Oleh: Dr. Asmah Razalli
Ketua Pergerakan Wirawati PUTRA Malaysia
1. Pergerakan Wirawati PUTRA Malaysia merasakan sudah tiba masanya BNM memahami & memihak dalam isu Moratorium yang disuarakan rakyat setelah semalam tular isu pilihan cara pembiayaan bayaran balik Moratorium yang melibatkan faedah terakru pinjaman sewa beli @ keuntungan pembiayaan Islam berkadar tetap.
2. Ketika awal PKP sekitar Mac lalu apabila Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan mengumumkan pilihan Moratorium kepada para peminjam di Malaysia, rakyat Malaysia menarik nafas lega kerana dapat membuat penangguhan pembayaran pinjaman ketika Covid-19 melanda Negara & banyak sektor pekerjaan terpaksa ditutup. Rakyat Malaysia yang tidak mempunyai gaji tetap mahupun yang terbeban rata-rata adalah dari golongan M40 & B40 dapat menyimpan lebihan aliran tunai untuk digunakan bagi menampung keperluan membeli makanan dan pelbagai keperluan lain setelah punca pendapatan mereka terhenti ketika PKP.
3. Malangnya, rakyat dikejutkan dengan kaedah penangguhan dua pilihan pembayaran yang diumum semalam sehingga ada yang rasa tertipu. Hari ini, Menteri Kewangan telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau bersetuju jika BNM perlu memahami kehendak rakyat yang faedah terakru pinjaman sewa beli @ keuntungan Pembiayaan Islam kadar tetap harus dilupuskan demi memikirkan kesempitan rakyat ketika ini.
4. Sayap Wirawati PUTRA Malaysia juga menyokong kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, bekas Menteri Kewangan era 80-an & Tokoh Perbankan Islam Malaysia, Tengku Razaleigh Hamzah yang berpendapat bahawa bank tidak mungkin menanggung kerugian yang begitu besar sehingga tidak mampu melupuskan faedah Moratorium bagi produk perbankan islamik pembiayaan kadar tetap & faedah terakru pinjaman sewa beli. BNM sebagai badan penyelia kewangan perlu berpendirian berpijak kepada peminjam ketika waktu sukar ini kerana industri perbankan adalah satu-satunya industri yang sentiasa untung kerana bank menjana keuntungan daripada pinjaman yang lain.
5. Sayap Wirawati PUTRA juga bersependapat dengan tokoh perbankan ini di mana Moratorium bererti mesti dikecualikan penalti, faedah dan sebagai Institusi Kewangan Islamik bukan sahaja tidak wajar mengenakan faedah kerana ia juga bertentangan dengan perundangan syariah.
6. Rakyat diberi 2 pilihan membayar penangguhan ansuran secara terkumpul iaitu selama 6 bulan bersama ansuran sehingga Oktober 2020 tanpa ansuran tambahan ATAU boleh memilih untuk meneruskan pembayaran ansuran selepas oktober 2020 dengan lanjutan 6 bulan tempoh bayaran balik selepas tarikh matang di mana rakyat melihat ini sebagai bebanan faedah atas faedah yang dikenakan ketika dihimpit kesempitan ekonomi sepanjang tempoh PKP Covid-19.
7. Menteri Kewangan hari ini telah mengeluarkan kenyataan agar semua institusi kewangan khususnya yang terlibat dalam Moratorium ini untuk mempertimbangkan supaya faedah terakru (bagi pinjaman sewa beli) atau keuntungan (bagi pembiayaan Islam berkadar tetap) dilupuskan sewaktu tempoh 6 bulan Moratorium. Menurut Akta Bank Negara 2009, isu ini berada di bawah bidang kuasa BANK NEGARA MALAYSIA.
8. Wirawati PUTRA berasa gembira jika Kementerian Kewangan bersedia untuk bekerjasama dengan BNM dan sektor perbankan bagi memastikan pelaksanaan saranan ini. Kerajaan perlu peka kepada keperluan rakyat, terutamanya mereka dari golongan M40 & B40 yang amat terkesan.
9. Wirawati PUTRA berharap pandangan Menteri Kewangan & Tokoh Perbankan Islam Malaysia, Tengku Razaleigh Hamzah sewajarnya dipertimbangkan oleh BNM dan juga institusi-institusi kewangan dalam Negara ketika kesempitan ekonomi melanda akibat wabak Covid-19 yang menyebabkan PKP perlu dilaksana dan diteruskan.
Sekian.
Wirawati PUTRA Malaysia peduli rakyat.