Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mendapatkan pandangan dan nasihat dalam menyusun tatacara Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini daripada agensi berkepentingan susulan penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Agensi yang terbabit dalam libat urus itu ialah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat dengan agensi berkenaan Jumaat lepas yang membincangkan beberapa perkara sekiranya tarikh PRK itu masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DUN Chini kosong berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, dari Barisan Nasional (BN) di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada Khamis lalu.