BANTING : Sebuah kedai perabot dan kedai cuci kenderaan yang dikendalikan secara haram oleh warga Bangladesh, antara premis diarahkan tutup serta-merta oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), semalam.

Yang Dipertua MPKL, Mohamad Zain A Hamid, berkata dalam Operasi Bersepadu MPKL bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar kawasan Perindustrian Bukit Changgang itu, sebuah kedai runcit Acheh juga diarah tutup.

“Anggota penguatkuasa MPKL menyerbu dan menutup tiga kedai yang tidak memiliki lesen peniagaan sah dan dikendalikan oleh warga asing.

“MPKL turut menyita pelbagai barangan sebagai bahan bukti di kedai terbabit yang terletak di sekitar Kampung Bukit Changgang dan Labohan Dagang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi yang bermula jam 11 pagi dan berakhir kira-kira jam 9 malam tadi itu membabitkan 20 pegawai dan anggota.

Mohamad Zain menegaskan, MPKL tidak pernah memberi atau mengeluarkan lesen perniagaan kepada mana-mana warga asing dalam daerah Kuala Langat.

“Justeru, MPKL akan mempergiatkan lagi operasi seperti ini bagi memastikan semua aktiviti perniagaan mempunyai lesen yang sah untuk beroperasi di daerah Kuala Langat.

“Dalam pasca COVID-19 ini, MPKL juga akan terus mengempur peniaga warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi sama MPKL turut mengeluarkan satu Notis Kesalahan di bawah UUK Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDKL) 2007 ke atas sebuah kilang ubahsuai mesin tekstil.

“Pemeriksaan mendapatim, pemilik kilang itu melakukan kesalahan di bawah Akta 133, Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974 dan didapati beroperasi tanpa lesen MPKL.

“Kilang itu melakukan penambahan struktur bangunan tidak mengikut pelan asal dan beroperasi kira-kira setahun setengah yang lalu.

“Tindakan sita di pintu masuk premis berkenaan dan arahan lisan kepada pemilik agar tidak melanggar atau cuba memotong tali sitaan berkenaan. Kegagalan mematuhi arahan akan dikenakan tindakan mahkamah,” katanya.