PUTRAJAYA – Cadangan mengenakan cukai bagi kemudahan pulang balik atau drawback ke atas semua rokok import bagi tujuan pemindahan barang ke kapal (transhipment) dan eksport semula dalam Belanjawan 2021 dilihat tidak wajar dan bakal mengakibatkan pemegang lesen sah rokok import gulung tikar, kata NGO Gagasan Sosial Dinamik.

Menurut Presidennya, V Thiagarajen, langkah kerajaan itu langkah itu secara tidak langsung akan menggalakkan penjualan dan penyeludupan rokok haram atau rokok yang tidak membayar cukai secara besar-besaran di negara ini, malah turut memperkecilkan peranan Jabatan Kastam Malaysia selaku pihak yang mengawal pintu masuk negara.

“Mengenakan cukai pulangan balik terhadap pengimport rokok import tidak akan membantu mencegah atau memperketatkan kawalan terhadap rokok penyeludupan. Ini akan membawa satu insiden yang cukup membahayakan negara, dengan adanya aktiviti penyeludupan rokok,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan berkata kerajaan bakal mengenakan cukai dengan kemudahan pulang balik atau drawback ke atas semua rokok import bagi tujuan transhipment dan eksport semula

Selain itu kerajaan juga mengehadkan aktiviti transhipment kepada pelabuhan tertentu sahaja dan tidak membenarkan eksport semula rokok menggunakan bot

Thiagarajen juga telah menyerahkan satu memorandum di Pejabat Kementerian Kewangan, PutraJaya,  kepada menteri agar menarik balik cadangan tersebut yang berkuatkuasa 1 Januari 2021.