KUALA LUMPUR – Isu penyeludupan manusia di negara ini dilihat semakin meningkat pada setiap tahun. Antara tunjang utama adalah melalui lorong tikus yang dilakukan oleh tali barut daripada warganegara ini.

Pada bulan Mei 2020 sahaja, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Negeri Selangor,merekodkan 61 lorong tikus dijumpai di sekitar kawasan daerah Sabak Bernam, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Klang Utara dan Klang Selatan. Malah pada bulan selanjutnya iaitu Jun 2020, 49 lorong tikus baharu ditemui di sekitar kawasan negeri Sarawak.

Disatu sisi, kewujudan lorong tikus ini bukan sahaja dilihat sebagai pencerobohan haram malahan merupakan satu tindakan sindiket pemerdagangan manusia daripada beberapa negara asing khususnya Indonesia, China, Thailand, Myanmar dan Vietnam.

Bagi menangani isu ini, kerajaan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 bagi mendakwa dalang utama kepada sindiket pemerdagangan manusia ini. Walaubagaimanapun, sabitan dibawah akta ini dilihat masih belum cukup bagi menghukum mereka yang terlibat.

Selain itu, Malaysia kekal berada pada Tahap 2 Pemerhatian dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) yang dikeluarkan pada Jun 2020 bagi tahun ketiga berturut-turut dengan kebimbangan yang pemerintah negara itu tidak melakukan usaha yang mencukupi untuk mengadili keterlibatan pegawai dalam jenayah yang berkaitan dengan penyeludupan manusia juga tidak membuat pengumuman hasil siasatan terhadap jenayah tersebut.

Laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pada Khamis itu juga berkata Putrajaya tidak menunjukkan peningkatan terhadap usaha keseluruhan berbanding tahun sebelumnya di mana penyiasatan, pendakwaan serta sabitan kes terhadap mereka yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia adalah sedikit berbanding dengan skala masalah berkenaan.

Bagi menyelesaikan isu utama ini, kerajaan berhasrat untuk meminda semula Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 bagi meningkatkan lagi hukuman termasuk menyentuh perkara-perkara lompong yang tidak diselia oleh perundangan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut pernah menyatakan komitmen beliau selaku menteri di kementerian tersebut bagi memastikan isu pemerdangan manusia ini ditangani dengan serius.