Kuala Lumpur – Demi memastikan aspek khidmat rawatan dan pemulihan dadah diperkasa, kerajaan dijangka akan menggubal akta baharu dalam siding dewan rakyat November ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata perundangan baharu itu akan dikenali sebagai Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substan 2020 yang bakal menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283).
Dengan kewujudan akta baharu ini, Hamzah berharap agar dapat meningkatkan lagi akses dan capaian dalam rawatan dan pemulihan pesakit dadah selain mengurangkan kadar penyalah gunaan dadah.
Terdahulu, satu mesyuarat diangkat untuk tindakan lanjut kepada Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kelulusan,
Dalam sidang dewan rakyat yang lepas, bacaan usul kali kedua ditangguhkan bagi memberi ruang kepada penubuhan dua jawatankuasa teknikal yang dianggotai pelbagai kementerian.
Dalam sesi mesyuarat sebelum ini, keputusan dipersetuju supaya undang-undang dan penguatkuasaan berkaitan penanaman apa-apa tumbuhan psikoaktif, termasuk kratom atau ketum perlu diperketatkan.
Terdapat dua jawatankuasa dibentuk iaituJawatankuasa Teknikal Undang-Undang akan dianggotai oleh Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan Jawatankuasa Teknikal Kajian Saintifik dan Komersial pula akan membabitkan keanggotaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Kesihatan.