Jenjarom- Federal Power Holding Sdn Bhd iaitu syarikat bumiputera tunggal yang menceburi bidang penghasilan bateri solar melaksanakan tanggungjawab korporat sosial dengan memberi sumbangan RM3000 dan peralatan sekolah kepada Prasekolah JAIS Daerah Kuala Langat.

Pengerusinya, Datuk Seri Hisham Abdul Wahab berkata pihaknya terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan bagi membantu murid kurang berkemampuan.

Katanya, walupun syarikatnya terjejas akibat pandemik Covid-19, mereka masih tetap mahu menyalurkan bantuan dan sekurang-kurangnya pemberian ini dapat menggembirakan kanak-kanak yang ingin memulakan hari persekolahan pada tahun 2021 dengan lebih bersemangat.

Program berkenaan juga katanya, dapat mengeratkan lagi hubungan Federal Power Holding dengan masyarakat setempat serta meringankan beban kewangan golongan sasaran.

Sementara itu, guru Prasekolah JAIS Daerah Kuala Langat, Haizan Nasuha berkata sumbangan itu akan mampu mengurangkan beban kewangan keluarga anak muridnya untuk menyediakan kelengkapan persekolahan.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kerana dengan bantuan ini dapatlah juga meringankan beban belanja persekolahan pelajar kami,” katanya. -KL Broadcast