PUCHONG – Keprihatinan seorang usahawan muda Datuk Seri Liow Soon Hee, yang sering menyumbangkan jutaan pelitup muka menerusi Yayasan Winner Emperor Sedunia kepada rakyat di negara ini sejak bermulanya pandemik Covid-19 mula menular di negara ini.
Menurutnya, inisiatif tanggungjawab sosial itu dimulakan serta-merta berikutan merasakan terdapat keperluan mendadak yang perlu digerakkan segera.
Kali ini, sebanyak 1 juta pelitup muka disumbangkan pihak beliau kepada orang ramai yang tidak berkemampuan, dan sumbangan kali ini akan diuruskan oleh Harian Metro, sebuah syarikat media penerbitan akhbar terkenal sebagai cara pihak media untuk menyebarkan maklumat berkaitan wabak Covid-19 yang belum berakhir.
Menurut Datuk Seri Liow Soon Hee, sumbangan ini akan diserahkan kepada Harian Metro dan pengagihan penutup muka ini akan dibuat di semua cawangan pengurusan syarikat media itu di seluruh Malaysia.
“Saya tak kira sudah berapa kali menghulur kan bantuan. Seingat saya, bermula bulan Mac sewaktu awal pandemik Covid-19 pihak kami sudah mula menyumbang pelitup muka kepada yang memerlukan. Waktu itu, harga pelitup muka masih mahal, kira-kira RM1.44 sekeping,” katanya.
Soon Hee dalam pada itu turut menggesa rakan korporat turut serta membantu kerajaan bagi meringankan beban rakyat di dalam menyediakan keperluan harian menghadapi pandemik Covid-19.
Beliau turut meminta semua rakyat pelbagai bangsa dan agama untuk mematuhi arahan Kementerian Kesihatan.
Majlis penyerahan sumbangan ini diadakan di pejabat Yayasan Winner Emperor Sedunia di Puchong, Selangor. Dengan penyerahan sumbangan terbaru ini, Yayasan Winner Emperor Sedunia masih mengekalkan rekod penyumbang pelitup muka terbanyak di Malaysia. -KL Broadcast