Beban penyakit tidak berjangkit (NCD) atau tidak kelihatan di mata kasar seperti diabetes dan hipertensi dalam kalangan masyarakat amat membimbangkan.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, menerusi hasil tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dilaksanakan pada 2019 menganggarkan 3.4 juta golongan dewasa menghidap dua penyakit NCD.

“Kementerian Kesihatan (KKM) memberi fokus terhadap strategi pencegahan dan kawalan NCD pada peringkat awal berdasarkan Pelan Strategik Kebangsaan Penyakit Tidak Berjangkit 2016-2025.

“Dasar, pelan dan perkhidmatan mengikut ‘Life Course Approach’ ini mengambil kira keperluan kesihatan dan sosial di semua peringkat kehidupan bermula dengan kesihatan dan pemakanan ibu,” Katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi pembentangan di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail yang meminta KKM menyatakan strategi dalam menangani penyakit tidak berjangkit di Malaysia.

Dalam pada itu, Khairy menambah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang diluluskan Jemaah Menteri pada 7 Ogos tahun lalu menjadi tawaran baharu kerajaan yang bertujuan menjadikan rakyat Malaysia sihat dan sejahtera.

Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) adalah sebagai platform peringkat tertinggi bagi membincangkan dan mengenalpasti dasar serta tindakan susulan bagi menangani NCD yang memerlukan pembabitan aktif pelbagai kementerian serta agensi. – KL Broadcast

PUTRAJAYA 13 NOVEMBER 2020 – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang akhbar mengenai vaksin Covid-19 di kementerianya di sini, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA PEMBERITA : AYU (KOSMO)