SPR menetapkan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak diadakan pada 18 Disember depan memetik sumber BERNAMA.
Sumber itu lagi berkata, tarikh penamaan calon diputuskan pada 6 Disember, manakala pengundian awal diadakan pada 14 Disember.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh mengumumkan tarikh penting PRN-12 itu dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di sini, hari ini.
SPR tidak dapat mengadakan PRN Sarawak selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 6 Jun lalu berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara ketika itu.
Sebelum ini, di pihak parti kerajaan memerintah di Sarawak Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata;
… GPS tidak berdepan masalah besar berhubung pembahagian 82 kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) antara empat parti komponennya bagi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata hanya ada sedikit masalah tetapi ia boleh diselesaikan kelak melalui perbincangan.
Ditanya apakah pemilihan calon GPS dibuat berdasarkan parti atau personaliti, beliau berkata perkara itu juga akan diputuskan dalam perbincangan antara empat parti komponen, iaitu PBB, SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
GPS akan bertanding di semua 82 kerusi DUN pada PRN akan datang. – KL Broadcast
