SYARIKAT penerbangan perlu memainkan peranan mereka dalam mengurangkan kenaikan harga tiket ke Sarawak.
Ini bagi membantu warga yang berasal dari Borneo yang menetap di Semenanjung untuk pulang melaksanakan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
Menurut Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS), Fazzrudin Abdul Rahman dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memetik laporan BERNAMA;
… peningkatan kekerapan penerbangan ke Sarawak seperti diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini, juga akan membawa kepada penurunan harga tiket.
“Ini juga akan memastikan jumlah pengundi yang maksimum akan keluar ketika pilihan raya negeri, yang pada masa sama membantu memudahkan kepulangan pengundi untuk melaksanakan tanggung jawab demokrasi mereka.
“Kami juga ingin menasihati ke semua rakyat Sarawak yang pulang dan juga pelancong datang ke Sarawak untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fazzrudin menambah, adalah amat penting untuk terus mematuhi SOP COVID-19 bagi memastikan keselamatan rakyat Sarawak pada tahap tertinggi dari jangkitan COVID-19 ketika pergerakan keluar masuk penduduk dari Semenanjung ke negeri itu.
Jelasnya lagi, walaupun kadar kes yang direkodkan semakin menurun di negeri itu, namun ia bukan alasan orang ramai mula tidak mematuhi SOP yang ditetapkan MKN dan kerajaan Negeri Sarawak.
Untuk rekod, paparan harga tiket penerbangan laluan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak semalam di laman web syarikat penerbangan terkemuka negara menunjukkan;
… harga terendah bagi penerbangan sehala (KUL-KCH) adalah RM1,299, KUL-Sibu (RM888) dan KUL-Miri (RM665). – KL Broadcast
