KUALA LUMPUR- Semalam, kecoh di media soaial melaporkan bahawa nama bekas Pengerusi Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak terkandung dalam senarai terbaru penerima watikah pelantikan diplomat ke luar negara daripada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Namun, menurut laporan Utusan Malaysia pada hari ini satu sumber mendedahkan bahawa watikah pelantikan Tajuddin ditangguhkan ke suatu tempoh lain.

Pendedahan tersebut telah menolak dakwaan yang mengatakan Tajuddin digugurkan daripada jawatan Duta Besar berkenaan.

Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pihak yang mendesak Tajuddin digugurkan sebagai duta besar ibarat mempertikaikan kuasa Agong, kerana pelantikan beliau sudah diperkenan.

Jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia kosong sejak Zainal Abidin Bakar, yang dilantik pada 21 Mac 2019, bersara pada 4 April 2021.