KUALA LUMPUR – Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini memohon bantuan China untuk membantu menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.
Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Persatuan AL-Ehsan Malaysia dan Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) menyerahkan memorandum mengenai perkara itu kepada Kedutaan China di Kuala Lumpur.
Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata kepada pemberita di luar kedutaan itu bahawa hubungan baik antara China dan Myanmar boleh memberi kelebihan dalam memujuk Myanmar untuk membantu melepaskan rakyat Malaysia yang terlibat.

“Kita meminta kerajaan China akan beri tekanan kepada sindiket untuk bebaskan semua rakyat Malaysia di Myanmar kerana tidak ada satu pun rakyat Malaysia yang perlu berada di Myanmar dan menjadi mangsa pemerdagangan.
“Sebagai lambang persahabatan Malaysia dan China dari sudut sosial, ekonomi dan kebudayaan adalah perlu menyelamatkan rakyat malaysia yang sudah lama ditahan dan diseksa di Myanmar,” katanya dalam sidang media selepas menghantar memorandum di hadapan Kedutaan China hari ini.
Suasana pilu menyelubungi sidang media penyerahan memorandum itu apabila seorang ibu menangis dan tiba-tiba melutut serta bersujud berkali-kali di hadapan kedutaan itu sambil merayu meminta pertolongan membebaskan anak lelaki dan menantunya yang berada di Myanmar.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Chin, merayu kerajaan China untuk menyelamatkan anak lelakinya, dan menantu yang ditipu dan kini terperangkap serta diseksa sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar sejak beberapa bulan lalu. -KL BROADCAST