

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Stesen Ampang Park hingga Stesen Kelana Jaya, akan kembali dibuka sepenuhnya bermula jam 6 pagi esok.
Prasarana, dalam satu kenyataan berkata, pembukaan semula perkhidmatan tersebut setelah mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah, berkata kelulusan yang diberikan adalah satu berita yang amat dialu-alukan setelah sebahagian daripada LRT Laluan Kelana Jaya digantung perkhidmatannya.
“Berdasarkan analisa keatas ujian meluas yang dijalankan pakar teknikal Rapid Rail dan pihak OEM Thales Group, APAD telah mengesahkan kestabilan sistem kawalan tren automatik (ATC) dan mengisytiharkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya.
“Kami sekali lagi menekankan bahawa keputusan yang diambil adalah demi keselamatan pengguna.
“Pembukaan penuh perkhidmatan lebih awal daripada jadual ini diharap dapat mengurangkan kesulitan yang telah dilalui oleh pengguna pengangkutan awam, khususnya mereka yang menggunakan LRT Laluan Kelana Jaya,” katanya.
Bagaimanapun, Azharuddin berkata, pemantauan ke atas sistem akan diteruskan bagi memastikan ia kekal stabil agar perkhidmatan dapat dijalankan dengan selamat.
Beliu turut berterima kasih kepada APAD dengan kelulusan yang telah diberikan untuk menyambung operasi LRT Laluan Kelana Jaya
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua diatas kesabaran anda ketika tempoh yang sangat mencabar ini.
“Tidak lupa setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menghulurkan bantuan dan sokongan terutama sekali pihak Smart Selangor, MARA Liner, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan juga rakyat Malaysia yang telah memberi bantuan kepada penumpang-penumpang yang terjejas,
“Prasarana sekali lagi memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia yang terkesan akibat gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya. Segala usaha akan diambil bagi memastikan gangguan seumpama ini tidak akan berulang,” tambah Azharuddin.