KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia Bunga Citra Lestari atau lebih mesra dipanggil, BCL mengaku berat hati untuk kembali menjejakkan kaki di Malaysia di Malaysia tanpa arwah suaminya, Ashraf Sinclair di sisi.

Menurut BCL, dia sudah menganggap Malaysia sebagai rumah kedua, namun masih memerlukan kekuatan untuk kembali ke sini kerana terimbau kenangan manis bersama Allahyarham.

“Datang ke Malaysia, sangat istimewa buat saya. Perasaannya berbeza, ianya bukan seperti datang ke sesebuah negara. Sebab Malaysia adalah rumah kedua. Bukan senang untuk ke tempat yang banyak memori bersama.

“Saya bertahan berada di rumah di Jakarta walaupun setiap sudut mengingatkan saya kepada Ashraf. Lapan bulan saya hanya duduk di rumah tanpa berjumpa sesiapa dan saya boleh katakan sekarang saya semakin okay.

“Walau bagaimanapun, untuk datang ke Malaysia memang memerlukan kekuatan,” ujar BCL ketika majlis sidang media BCL Blossom Intimate Concert yang diadakan di Banquet Hall, Kuala Lumpur Convention Centre, pada Rabu.

Penyanyi lagu Wanita Terbahagia itu bercerita bagaimana perjuangannya untuk terus kuat dan move on. Suami BCL yang juga pelakon Ashraf Sinclair telah menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah pusat perubatan di Jakarta akibat serangan jantung, pada 18 Februari 2020.

Dalam perkembangan terkini, BCL bakal mengadakan konsert pertamanya di Malaysia yang diberi nama Konsert Blossom Intimate Concert. Konsert ini dibawakan oleh Icon Entertaiment pada 27 Januari 2023 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Para peminat boleh membeli tiket di www.ticket2u.com.my. Harga jualan tiket bermula dari RM218 hingga RM1238. -KL BROADCAST