KUALA LUMPUR- Calon bebas di Sungai Buloh, Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff menarik perhatian ramai dengan gaya selamba dan ‘gila-gila’ nya.

Pada penamaan calon Sungai Buloh di Dewan Kenangan, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling pada Sabtu lepas beliau hadir dengan berbut kuning seperti watak Phua Chu Kang. Kata Syed Abdul Razak, ia sebagai gimik manifestonya untuk menangani banjir di Sungai Buloh, yang juga tempat kelahirannya.

Beliau merupakan anak jati Sungai Buloh dan fasih berbahasa Hokkien dan Kantonis.

“Saya mahu bantu rakyat di sini. Saya juga merasakan inilah masanya calon bebas boleh menang kali ini selepas langkah Sheraton,” katanya kepada media selepas majlis makan malam dan sesi ceramah bersama Persatuan Pasar Kg Baru Sungai Buloh.

Malah katanya, beliau yakin mempunyai potensi untuk memenangi kerusi parlimen itu atas faktor beliau sangat mengenali isu rakyat setempat.

Hasratnya jika dipilih sebagai ahli parlimen di situ, beliau mahu untuk melancarkan Tabung Kebajikan untuk rakyat Sungai Buloh.

Kerusi Parlimen P107 Sungai Buloh bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pilihan Raya Umum ke-15 kali ini menyaksikan penyertaan tertinggi calon Bebas iaitu sebanyak 108 calon. -KL Broadcast