KUALA LUMPUR -Pihak berkuasa dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menjalankan siasatan berhubung tular terbaharu membabitkan seorang murid di negeri pantai timur tidak mahu ke sekolah kerana emosinya terganggu selepas didakwa digigit guru, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Menurutnya, pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang bentuk keganasan termasuk buli mahupun penindasan terhadap murid.
“Segala siasatan mesti mengikut saluran dan proses yang betul iaitu mempunyai aduan, siasatan dan ketelusan.
Terdahulu, seorang ibu berkongsi di media sosial, mendakwa anak lelakinya berusia enam tahun digigit guru hingga menyebabkan mental murid itu terganggu.
Wanita itu pada mulanya beranggapan anaknya menjadi mangsa buli selepas tidak ceria dan sering bertanya mengenai cuti sekolah, hinggalah perkara itu terbongkar.
Dia turut mendakwa guru lelaki itu berbuat demikian terhadap murid lain dan menggigit bahagian tidak sepatutnya, termasuk mulut, tangan dan telinga.
Mengulas itu, Fadhlina berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sedang sedang menyiasat dan kes akan dibawa ke peringkat atasan jika terbukti berlaku salah laku.
“Jangan risau saya beri jaminan apa sahaja yang berkaitan dengan aduan, yang melibatkan keganasan, buli atau yang melibatkan tindakan fizikal, ini kita akan siasat.
“Buat masa sekarang perlu hormat proses siasatan, jadi bagi ruang untuk siasatan diperkemaskan,” katanya.
“Kita tidak kompromi sebarang keganasan ataupun buli, penindasan terhadap murid. Ia mesti (disiasat) ikut saluran dan proses yang betul.
“Jika ada aduan, mesti ada siasatan dan ketelusan. Kita serahkan kepada pihak berkuasa dan kita sedang menantikan keputusan,” katanya ketika ditemui media di Majlis Anugerah Penggunaan Digital dan Teknologi (DUTA) di ibu negara pada Selasa. -KL Broadcast