GOMBAK – Inisiatif program Madani Afiat adalah pendekatan kerajaan untuk membawa khidmat Kementerian Kesihatan (KKM) kepada komuniti secara terus dalam usaha meningkatkan kesedaran dan tahap kesihatan rakyat Malaysia.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif itu adalah bagi mengesan dan mencegah risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan masyarakat melalui pelbagai program seperti saringan kesihatan dari rumah ke rumah, pameran kesihatan dan gotong-royong bersama komuniti setempat.
Ujarnya pemilihan tempat pelancaran di Selangor dibuat kerana negeri itu telah dijadikan contoh oleh KKM memandangkan kerajaan negeri berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif kesihatan kepada rakyat di negeri ini.
Melalui program Madani Afiat- pengurusan tertinggi KKM, pemimpin masyarakat dan pasukan perubatan akan buat aktiviti “Touch Point” berupa lawatan dari rumah ke rumah. Ada juga pameran dan aktiviti setempat oleh agensi-agensi yang terlibat bersama KKM.
Banyak program kesihatan dan inisiatif komuniti yang dijalankan oleh KKM kepada kumpulan sasar seperti menjalankan ujian saringan kesihatan bagi mengesan dan mencegah risiko penyakit tidak berjangkit – Non Communicable Diseases (NCD).
“Program-program kesedaran sebegini perlu diteruskan kerana akhirnya kita mahu rakyat sihat dan ini juga antara yang disebut dalam Kertas Putih Kesihatan iaitu mempromosi kesihatan,” katanya kepada media selepas merasmikan program Madani Afiat di Dewan Rakyat Batu Caves pada Ahad. -KL Broadcast