PONTIAN: Datuk Jawahar Ali Taib Khan menyifatkan pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai kehilangan sebuah permata untuk negara.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) itu berkata, Allahyarham juga merupakan seorang pemimpin berdedikasi dalam membantu rakyat.

Mengimbas kembali jasa Allahyarham, katanya, Salahuddin terus memperkenalkan konsep Payung Rahmah sejurus menjawat jawatan menteri.

Jawahar berkata, inisiatif tersebut memberi kesan demi kelangsungan hidup kepada para peniaga dan rakyat.

“Selain itu sesi libat urus dengan peniaga yang tidak putus putus dilakukan Allahyarham untuk menangani kesan kos sara hidup juga menunjukkan komited beliau dalam menurunkan harga barang dalam pasaran.” ketika dihubungi KL Broadcast pada Isnin.

Allahyarham merupakan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dimasukkan ke HSB pada 10.15 malam Jumaat lalu, selepas mengadu tidak sihat serta muntah-muntah.

Doktor pakar kemudian mengesahkan terdapat pendarahan di bahagian otaknya, menyebabkan beliau perlu menjalani pembedahan segera.

Ahli Parlimen Pulai itu kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB sejak pagi Sabtu, selepas selesai menjalani pembedahan, sebelum meninggal dunia malam Ahad.

Dalam perkembangan lain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimamkan solat jenazah Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, di sini pada pukul 11 pagi ini.