KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengecam tindakan kerajaan yang didakwa membuat perjanjian atau jaminan lantikan politik untuk DAP, sekiranya mereka memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bulan depan.Pengerusi Perhubungannya, Henry Teoh Kien Hong berkata, langkah tersebut merupakan satu lantikan politik secara terang-terangan untuk kepentingan parti.”Kalau dilihat Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) sudah jauh daripada prinsipnya. Beliau sudah mengikut landskap politik UMNO yang melantik kroni-kroni dalam jawatan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) demi kepentingan parti.”Barisan Nasional (BN) juga sanggup gadaikan atau beri apa sahaja kepada DAP,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.Terdahulu, DAP dilapor menggugurkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah tetapi mencadangkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang.Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengumumkan Ean Yong dicadangkan untuk menjadi pengerusi badan berkanun yang terletak bawah Kementerian Pengangkutan, portfolio dibawah Loke selaku menteri.Selain itu, Loke turut mengumumkan penyandang DUN Banting, Lau Weng San digugurkan dalam PRN Selangor, dan pada masa sama dicadang sebagai Speaker DUN Selangor.Loke berkata, perkara itu merupakan syarat yang sudah ditetapkan, susulan DAP telah menyerahkan DUN Dusun Tua kepada BN.Mengulas lanjut, Henry menggesa rakyat untuk melihat dan menilai pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan BN, yang didakwa menggunakan undi rakyat untuk mendapat jawatan serta memiliki agenda tersendiri. Beliau berkata, itu adalah akibat yang terpaksa dihadapi rakyat kesan daripada kerajaan gabungan PH dan BN.”Perikatan Nasional (PN) yakin rakyat Selangor dapat menilai yang mana kaca, yang mana permata.”Rakyat perlukan masa hadapan yang lebih baik, dan penyelesaiannya itu ada pada PN,” tambahnya.