
ZHANG Chaochao memilih Malaysia sebagai destinasi pertama ketika mengetuai delegasi ke Asia Tenggara selama tiga hari baru-baru ini.
Persefahaman bersama Malaysia itu merupakan kesinambungan inisiatif Jalur dan Jalan atau ‘Belt and Road’.
Selain itu, lawatan tersebut diadakan bertujuan untuk mewujudkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan bandar Shijiazhuang, yang terletak di wilayah Hebei, China.
Pada 24 Julai, Chaochao membuat lawatan ke kilang Volvo di Shah Alam, Selangor yang bekerjasama dengan syarikat Sicon Chat United Electric Co. Ltd, di Shijiazhuang.
Beliau kemudian berkunjung ke VSD Automation Sdn Bhd dan mengadakan perbincangan dengan pengarah eksekutif syarikat berkenaan, Abdul Hafiz.
Pada masa sama, Chaochao turut menghadiri majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Sicon Chat Union Elctric Co. Ltd dan VSD Automation Sdn Bhd.
MoU itu dilakukan dengan harapan kedua-dua pihak akan mengambil peluang untuk memperoleh faedah bersama, membuat keputusan secara ‘win-win situation’, menggalakkan pembangunan industri tenaga baharu selain membantu mencapai matlamat puncak pelepasan karbon dan neutral karbon.
Ketika Chaochao melakukan perbincangan dengan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing, beliau memperkenalkan pembangunan ekonomi dan sosial Shijiazhuang.
Beliau berharap agar kedutaan Malaysia akan terus mengambil berat tentang Shijiazhuang dan mempromosikan lebih banyak perniagaan untuk melabur di bandar itu.
Pada 25 Julai, Chaochao mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md. Azmir dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.
Ketika pertemuan itu, Chaochao tampil memperkenalkan Shijiazhuang dan berharap agar bandar itu dan Petaling Jaya, Selangor akan mengadakan kerjasama dari segi ekonomi, perdagangan, budaya dan pelancongan demi masa depan lebih baik.
Selain itu, Chaochao turut mengadakan lawatan ke PG Mall di Kuala Lumpur dan menghadiri majlis pemeteraian Mou bersama syarikat e-dagang itu.
Malah, Chaochao juga sempat mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM), Datuk Keith Li dan mengalu-alukan beliau untuk melawat dan mengembangkan perniagaan di Shijiazhuang.
Pada tarikh sama, Chaochao dan Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim menghadiri Persidangan Kerjasama dan Pertukaran China (Shijiazhuang) – Malaysia.
Dalam ucapannya, Chaochao berkata, Shijiazhuang memiliki peluang pembangunan yang jarang berlaku.
Katanya, bandar itu disifatkan sebagai lokasi strategik, yang mana wujudnya pembinaan kereta api berkelajuan tinggi, lebuh raya, landasan kapal terbang, selain merupakan kawasan hab pengangkutan penting di China.
Bukan itu sahaja, terdapat asas perindustrian kukuh dan moden yang dikuasai oleh bioperubatan, kolej, universiti serta institusi penyelidikan yang padat di bandar tersebut.
Katanya lagi, bandar itu menanda aras secara menyeluruh terhadap sistem indeks penilaian Bank Dunia serta berusaha untuk mewujudkan persekitaran perniagaan kelas pertama, yang berorientasikan pasaran serta peraturan undang-undang dan antarabangsa.
Jelasnya, Malaysia adalah antara negara pertama yang menyokong Belt and Road manakala Shijiazhuang mengalu-alukan usahawan Malaysia mengembangkan perniagaan ke bandar itu.
Pada 26 Julai, Chaochao mengadakan perbincangan bersama wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Kelvin Yii Lee Wuen; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pharmaniaga Berhad, Ahmad Shahredzuan Mohd Shariff.
Pertemuan itu diadakan dalam satu majlis MoU antara Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd dan CSPC Holdings Co Ltd.
Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd adalah anak syarikat Pharmaniaga Berhad, manakala CSPC Holdings Co Ltd adalah anak syarikat CSPC Pharmaceutical Group Ltd (CSPC).
MoU itu ditandatangani bagi meningkatkan portfolio biofarmaseutikal CSPC.