KUALA LUMPUR- Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata lesen syarikat penerbangan tambang murah MYAirline Sdn Bhd akan digantung untuk sementara waktu.

Jelasnya, tindakan itu diambil susulan MyAirline menghentikan operasi penerbangan dengan hanya memberi alasan untuk mencari pelabur sebelum beroperasi semula.

Beliau berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mengumumkan perkara itu nanti pada hari ini.

“Saya difahamkan syarikat ini masih wujud, mereka kata diberhentikan operasi sementara mahu mencari pelabur (baharu). Itu isu komersial mereka.

“Tetapi di pihak berkuasa kita akan menggantung lesen mereka sementara waktu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis pelancaran Logistik Hijau dan Penyerahan Lori Terminal Elektrik Pertama Malaysia kepada Unilever Malaysia di sini, hari ini.

Loke berkata, beliau difahamkan MYAirline akan mengadakan sidang media pada hari ini jadi pihak pengurusan perlu tampil untuk memberikan penjelasan kepada pelanggan dan juga kepada kakitangan mereka.

Sementara itu, satu sidang media MYAirline telah diadakan pada petang tadi oleh Eksekutif Interim MyAirline, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman. Beliau berkata, tiada pekerja yang diberhentikan atau diberi cuti tanpa gaji dan usaha membayar gaji mereka akan diberi keutamaan sebaik sahaja pelabur baharu mengambil alih.

Seramai 900 kakitangan Myairline Sdn Bhd (Myairline) masih kekal sebagai pekerja syarikat itu dan tidak ditamatkan perkhidmatan sehingga kini.

“Kebajikan kakitangan tetap keutamaan kami, sebaik sahaja pembiayaan diperoleh, kami akan mengutamakan pembayaran berkanun dan gaji bulan September kakitangan. -KL Broadcast