KUALA LUMPUR – Band rock popular dari Indonesia, Radja, bersama Ratu Rock Negara, Ella bakal disatukan dalam sebuah konsert di ibu kota melalui ‘LIVE IN CONCERT : RADJA & SPECIAL APPEARANCE ELLA (JUJUR TAKKAN MELUPAKANMU)’.
Konsert yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 12 November depan dibawakan oleh Orange International Entertainment.
Radja, yang dianggotai Ian Kasela (vokalis), Moldy Kusnadi (gitar) dan Seno Aji (dram) berkata mereka rindu untuk mengadakan persembahan di hadapan peminat-peminat di Malaysia.
“Rindu rasanya untuk bertemu kembali dengan peminat-peminat di Malaysia setelah sekian lamanya, dan ini bukan kali pertama Radja datang ke Malaysia kerana sudah pun tiba seawal tahun 2004 dan 2005 lagi, dan setiap kali mengadakan persembahan selalunya berjaya,” kongsi Ian.
Ibarat membuka lembaran baharu, kedatangan Radja pada kali ini lebih istimewa kerana konsert yang bakal diadakan lebih kepada keakraban di antara band dengan juga peminat.
“Kami mahukan sebuah konsert yang ‘intimate’ agar peminat berasa lebih dekat, kami juga mahukan sebuah pertunjukan yang ‘sing-along’ dengan kejutan yang sungguh istimewa,” jelas Moldy.
Tiket-tiket yang dijual berharga RM168 (Rockzone 1-Jujur), RM148 (Rockzone 2-Tulus), RM528 (VVIP-Cinderella), RM238 (Platinum-Yakin) dan RM198 (Gold-Benci Bilang Cinta) boleh didapati di ticket2u.com.my