KUALA LUMPUR – Selepas beberapa tahun tertangguh, kumpulan popular Indonesia, Armada menggegarkan Malaysia menerusi konsert sulung mereka iaitu Konsert Armada First Encounter di Zepp Kuala Lumpur (KL) pada 29 Oktober lepas.

Vokalisnya, Rizal dalam masa yang sama mengakui mereka gemuruh mengenangkan deretan konsert lain yang berlangsung pada bulan yang sama.

“Selama ini kami sentiasa menunggu peluang untuk mengadakan konsert sulung di Malaysia. Kami sering menerima permintaan daripada peminat yang mahu kami datang ke Malaysia untuk membuat konsert namun beberapa kali tertangguh atas perkara yang tidak dapat dielakkan kerana pilihanraya umum.

“Kami menganggap tahun ini adalah waktu yang tepat dan rezeki untuk kami bertemu dengan peminat Armada,” katanya.

“Untuk konsert pertama kami di Malaysia ini, tentunya kami rasa teruja.

“Pada masa sama, ada juga rasa gemuruh memandangkan sekarang adalah musim kebanjiran konsert di Malaysia, yang mana sedikit sebanyak memberi tekanan buat kami.

“Jadi, konsert ini harus berbeza dan memberi impak kepada penonton yang hadir,” katanya yang ditemui dalam sidang media sebelum konsert bermula.

“Ini bukanlah kali pertama kami hadir ke Malaysia. Namun, kehadiran kami sebelum ini adalah lebih kepada menjayakan rangka promosi untuk lagu dan album. Kali terakhir kami ke Malaysia ialah sekitar tahun 2018.

Sementara, wakil penganjur iaitu SK One Venture Sdn. Bhd. berkata, konsert tersebut pernah dirancang sekitar tahun 2018 tetapi terpaksa dibatalkan susulan Pilihan Raya Umum yang diadakan pada tahun sama.

Pada konsert malam itu Armada menyanyikan semua lagu-lagu hitsnya yang masih lagi menjadi siulan ramai sehingga hari ini dalam media sosial. -KL BROADCAST