KUALA LUMPUR – Seorang penghantar barang dibelasah selepas dipercayai bergaduh mulut dengan pengawal keselamatan yang tidak mengizinkannya masuk menghantar pesanan pelanggan.

Beberapa video serta gambar telah tular di media sosial sejak semalam manakala kejadian difahamkan berlaku di hadapan sebuah premis perniagaan di Persiaran Tun Razak, di sini and ada Jumaat.

Menurut hantaran di Facebook Azhar Juny, pengawal keselamatan berkenaan bertindak memanggil lelaki blazer merah seterusnya berlaku pergelutan antara mereka.

Susulan pergelutan yang berlaku, didapati seorang wanita yang merupakan pelanggan meminta lelaki blazer merah itu agar berhenti menyakiti rider berkenaan.

“Saya yang minta tolong dia (rider) untuk datang sini. Saya akan bertanggungjawab kalau kena marah.

“Saya pun orang Sabah. Awak anggap orang Sabah orang luar ke? Dia bukan orang luar tau.

“Dia bertekak dengan pengawal keselamatan sebab diprovok banyak kali. Kita nak selesaikan urusan dengan cepat, bukan macam ni,”ujar wanita itu selepas pergaduhan dileraikan.

Memerik laporan Kosmo Online, polis sedang menjalankan siasatan berhubung video tular terbabit sejurus menerima laporan pukul 2.34 petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Nazrin Abdul Yusof berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian tersebut berlaku pukul 3.20 petang, pada Khamis.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang.