KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri dari Jepun, Yasu Tanaka dan Bea Tanaka kembali dengan sebuah lagi naskhah istimewa, magiK selepas kejayaan filem Nota pada tahun 2015.
Kali ini, filem kedua mereka menyasarkan komuniti orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan menampilkan barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Qisya Hairulzain, yang juga merupakan anak kepada pelakon Amanda Misbun, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, dan Kamarul Eqifshah.
Berkongsi lanjut mengenai magiK, pengarah Yasu Tanaka yang juga pemilik syarikat produksi filem 42nd Pictures berkata, naskhah ini bukan sekadar mengangkat kisah gadis pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip, tetapi turut mengajak penonton menyelami kelebihan dan keistimewaan golongan bermasalah pendengaran.
“Idea menghasilkan magiK apabila idea disatukan iaitu hubungan isteri, Bea dengan komuniti pekak dan minat saya terhadap alam alam semula jadi.
“Begitulah cara dua idea ini digunakan untuk mencipta cerita seorang gadis pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip.
Yasu bercakap sedemikian di tayangan perdana filem MagiK yang diadakan di TGV Pavilion Bukit Jalil pada Selasa.
Filem “magiK” arahan Yasu Tanaka dan Produksi 42nd Pictures Sdn Bhd akan bertemu peminat bermula 30 November 2023 di tujuh lokasi terpilih seluruh negara.