KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda MCA Ling Tian Soon menggesa Akmal supaya bertenang dan tidak mengajak orang ramai memboikot KK Mart, yang telah memohon maaf dan menyesal atas kejadian itu.

Beliau berkata pihaknya akur tindakan menjual stoking dengan cetakan kalimah terbabit adalah salah, namun memohon Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh, tidak seharusnya bertindak emosi tanpa bertolak ansur, berikutan permohonan maaf yang sudah dibuat pihak terbabit.

“Kami bersetuju bahawa mencetak kalimah ‘Allah’ pada stoking adalah tindakan salah, namun pengurusan kanan KK Mart segera tampil memberi penjelasan dan memohon maaf, serta mengemukakan jalan penyelesaian.

“Isu ini merosakkan hubungan antara kaum di negara ini. Islam adalah agama persekutuan. Oleh itu, isu ini melibatkan semua warganegara Malaysia.

“Saya mohon Pemuda Umno kekal tenang. Kita tidak minta rakyat merusuh, harus bertindak mengikut undang-undang. Walau bagaimanapun, mesti ada akauntabiliti untuk isu ini. KK Mart mesti bertanggungjawab,” katanya dalam satu video yang dimuatnaik di Facebook miliknya pada Isnin.

Stoking yang tertera kalimah Allah yang didakwa dijual di KK Mart

Sebelum ini Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh meminta sayap MCA dan DAP bertemu komuniti Melayu-Islam bagi mengetahui perasaan berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart.

Dr Akmal berkata Pemuda MCA dan DAP yang berada lebih 60 tahun patut faham bahawa kedudukan nama Allah dan kesuciannya “suatu isu yang tidak ada tolok bandingnya”.

Akmal berkata Pemuda Umno bertenang dalam isu ini serta mengambil jalan yang selaras undang-undang, dan mahu pertanggungjawaban dalam isu ini.

“Untuk kesalahan yang begitu serius ini, dengan kesan yang begitu besar, takkan pula satu permohonan maaf sudah menyelesaikan segala-galanya?” soalnya.

Sebelum ini Pemuda Umno beri tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang memohon maaf di semua 881 cawangannya. -KL Broadcast