KUALA LUMPUR, 19 Julai — Menteri Besar Perak yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bercakap pada sidang media di sini hari ini berhubung perlawanan akhir Piala FA 2019, esok.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – Bimbang Malaysia akan berdepan situasi sukar jika menerima ‘lamaran’ untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 selepas Victoria, Australia menarik diri. Begitulah luahan pandangan dari bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Kajian mengenai implikasi kewangan perlu dibuat sebelum kerajaan membuat keputusan tambah beliau.

“Dalam jangka masa dua tahun, saya amat bimbang jika ia akan menjadi beban yang terlalu berat sehingga boleh meletakkan negara dalam keadaan yang sukar.

“Kajian menyeluruh amat perlu dilakukan sebelum membuat keputusan besar ini. Terutama sekali daripada segi kewangan,” memetik Sinar Harian.

Sebelum ini Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan suntikan dana 100 juta pound (RM602 juta) kepada Malaysia sekiranya bersetuju untuk menjadi tuan rumah bagi Sukan Komenwel akan datang.

Untuk rekod Victoria menarik diri kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AS$2.6 bilion (kira-kira RM8.09 bilion) kepada AS$7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).

Faizal juga tidak menolak kemungkinan untuk bersetuju agar Malaysia menjadi tuan rumah sekiranya keputusan tersebut dibuat lebih awal berbanding tempoh singkat dua tahun sebelum temasya berlangsung.